Artikel ini akan membincangkan tentang perbezaan remisier vs broker yang anda perlu tahu di dalam dunia pelaburan saham.
Pelaburan merupakan satu perkara yang amat penting untuk masa depan anda. Sekiranya anda hanya mengharapkan pendapatan utama anda untuk hidup di dalam zaman yang amat mencabar ini, maka anda mungkin tidak akan mempu untuk bersara dengan simpanan yang mencukupi.
Antara cara yang anda boleh lakukan untuk memastikan anda mempunyai wang simpanan yang mencukupi di hari tua adalah melalui pelaburan saham. Namun, sekiranya anda baru sahaja ingin berjinak-jinak ke dalam alam pelaburan saham, maka terdapat pelbagai perkara yang anda perlu tahu terlebih dahulu.
Terdapat pelbagai terma yang diguna pakai di dalam dunia pelaburan saham. Antara terma yang anda akan seringkali dengar adalah berkenaan remisier serta broker. Namun, apakah maksud kedua-dua terma ini dan apakah perbezaan antara remisier vs broker? Mari kita rungaikan terma-terma ini bersama-sama.
Apa itu Broker Saham?
Semestinya banyak orang sudahpun mendengar terma ini berkali-kali namun ada sebahagian daripadanya tidak memahami apakah maksudnya. Definisi broker secara amnya adalah seorang pengantara, namun, apakah yang dimaksudkan dengan broker saham?
Untuk memudahkan pemahaman anda berkenaan broker saham, ianya menerangkan tentang sebuah institusi yang bertanggungjawab untuk menjadi orang tengah antara pelabur dengan pertukaran efek.
Adakah semua orang boleh memikul tugas-tugas seorang broker? Jawapannya adalah tidak, kerana sekiranya anda ingin menjadi seorang broker saham, anda perlulah mendapat lesen yang sah terlebih dahulu.
Anda juga perlu mengetahui bahawa anda tidak boleh berurusan dengan Bursa Malaysia secara langsung. Hanya broker sahaja yang mempunyai kebenaran untuk berkomunikasi dengan Bursa Malaysia secara langsung. Anda memerlukan khidmat daripada broker yang berdaftar sekiranya anda ingin melabur dalam Bursa Malaysia.
Apa Itu Remisier?
Berbeza daripada broker, kebanyakan orang tidak pernah mendengar istilah ini dan langsung tidak boleh mengagak apakah fungsi remisier di dalam dunia pelaburan saham. Remisier adalah seorang ejen berlesen dari syarikat broker yang menjadi pengantara di antara pelabur saham dengan syarikat broker.
Seorang remisier akan menerima komisen bagi setiap transaksi yang diuruskan oleh beliau. Mereka juga diberikan lesen perwakilan yang memberikan kebenaran kepada mereka untuk berinteraksi dengan pelabur (anda) dan berdagang saham.
Berikut adalah antara tugas yang dipikul oleh seorang remisier:
- Menjawab inkuiri berkenaan soalan teknikal yang diajukan oleh pelanggannya. Sebagai contoh, soalan berkenaan cara untuk menggunakan trading platform, cara untuk melakukan urusan jual beli saham, termasuklah kos minima pembelian dan penjualan saham.
- Membantu pelanggan untuk mengambil pesanan untuk jual dan beli saham di dalam trading platform yang digunakan oleh si pelabur.
- Menjadi sumber berita berkenaan maklumat terkini berkenaan pelaburan saham yang berlaku di luar dan dalam Malaysia yang mungkin akan memberikan impak dalam pasaran saham kepada pelaburnya.
- Bertanggungjawab untuk menerangkan tentang margin yang pelanggannya perlu tahu apabila ingin berdagang.
- Apabila pelanggannya ingin melakukan deposit wang ke dalam akaun Sistem Depositori Pusat (CDS), remisier akan membantu untuk mempercepatkan proses tersebut.
- Apabila pelanggannya berhasrat untuk mengeluarkan wang dari akaun CDS, samada duit untung atau duit modal, remisier akan menguruskan urusan pengeluaran wang tersebut.
- Remisier juga merupakan individu yang anda boleh harapkan apabila anda ingin memohon pinjaman pembiayaan saham IPO.
- Selain mengetahui apakah yang ditawarkan oleh broker saham mereka, remisier juga boleh membantu anda memahami produk-produk lain di Bursa Malaysia.
Remisier Vs Broker
Setelah memahami kedua-dua terma ini, apakah perbezaan remisier vs broker? Sebenarnya kedua-dua terma ini bekerjasama dengan satu sama lain. Apa yang membezakan antara remisier vs broker adalah broker merupakan sebuah insitusi saham yang menjadi pengantara antara pelabur dengan pertukaran efek, manakala remisier merupakan pengantara antara pelabur dengan syarikat broker.
Perbezaan kedua antara remisier vs broker adalah berkenaan dengan nisbah komisen yang akan diperolehi mereka. Bagi broker, mereka akan menerima 60 peratus komisen manakala remisier hanya akan menerima 40% komisen bagi setiap dagangan.
Demikian merupakan perbezaan remisier vs broker yang anda perlu tahu. Sekiranya anda masih mentah di dalam dunia pelaburan saham dan memerlukan guru saham yang berpengalaman luas dalam dunia saham, anda boleh mendapatkan latihan saham melalui link ini.